Monday, November 14, 2011

Redha

  "Aduh panasnya, naik migrain kalau begini","Mengapa hujan? Baru hendak bermain", "Kalau cuaca panaskan best, ini tidak asyik hujan saja". Sering kali kita mendengar ucapan atau keluhan sebegini. tidak dinafikan penulis sendiri kadangkala terlepas kata. Manusia ada kalanya apabila ditimpa musibah sering kali menunding jari kepada Allah SWT. Sebagai contoh kita merungut apabila demam panas, kita sebenarnya merungut kepada siapa? Demam? Virus? ataun pencipta demam itu?. Apabila hujan turun misalnya, kita marah kerana tidak dapat meneruskan aktiviti yang hendak dilakukan, kepada siapa kita marahkan?

REDHA KETENTUAN ALLAH
  Allah berfirman dalam surah An-nisa ayat 79:
" Apa  saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri."
   Patut diingatkan semula rukun iman yang terakhir iaitu beriman kepada Qada dan Qadar. Apabila kita sudah beriman dan betul-betul memahaminya maka mudah bagi kita untuk redha dan sabar terhadap apa yang menimpa kita.
   Selain itu, kita juga harus bersabar dalam setiap ujian dan musibah yang timpa keatas kita. Kadangkala ujian itu datang dalam kita sedar ataupun tidak sedar." Sabar aku pun ada hadnya, kau jangan cabar kesabaran aku.", "Aku sudah hilang sabar dengan budak tu, siaplah budak tu esok". Adakah sabar dengan Allah ada had? Sabar sepatutnya tiada had langsung. Orang yang tidak bersabar dengan ujian Allah bermakna dia tidak redha dengan ketentuanNya.
  " Diwajibkan kamu berperang padahal berperang itu berat abgi kamu (tidak disukai). Boleh jadi yang kamu benci itu ada kebaikan bagimu. Boleh jadi (juga) yang kamu sukai itu (akibatnya adalah) buruk bagimu. Allah jua yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya"(surah Al-Baqarah ayat 216)
  Cuba renungkan kembali ayat yang di 'highlight' kan. Ini bermakna segala sesuatu sama ada baik atau buruk Allah juga yang mengetahuinya. Justeru, haruslah kita fahami bahawa Allah SWT sentiasa menetukan yang terbaik untuk kita. Bersabarlah.
 REDHA ALLAH ATAU MANUSIA?
   Kehidupan di dunia ini tidak akan lari antara dua redha ini. Kadangkala dua perkara ini berlawanan dan kadangkala dua perkara ini bersahabat. Suasana persekitaran yang baik, kenalan-kenalan yang sentiasa baik akan menjadikan dua perkara ini berseiringan. Misalnya apabila kita berada bersama teman-teman yang sentiasa mendorong ke arah kebaikan, apabila kita melakukan kebaikan mereka akan suka apatah lagi Tuhan kita. tapi sebaliknya jika kita bertemankan kenalan yang suka hiburan melampau, maksiat yang berleluasa maka apabila kita mengajak atau membuat kebaikan Allah menyukai tetapi mereka tidak akan senang dengan kita malah mecemuh kita.
    Sabda Nabi Muhammad SAW,
"Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda, Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing, maka sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang terasing itu"
   Hadis ini menjelaskan waktu Islam mula-mula berkembang dahulu, Islam dianggap suatu yang asing. mana tidaknya apabila manusia menyembah berhala, mereka yang bergelar Islam menyembah Allah. Di saat manusia bebas meminum arak, orang Islam terasing dengan berpuasa. Apabila Islam sudah kuat dan menguasai  2/3 dunia, ketika itu Islam sudah tidak asing. Berpuasa, menutup aurat dan beribadah sudah menjadi amalan dan tidak asing. Namun sabda nabi, kelak Islam akan kembali asing. Lihat zaman sekarang, perempuan-perempuan yang mengenakan jubah dan bertudung labuh akan di labelkan 'ketinggalan zaman' 'out of date' dan sebagainya. Jadi manusia yang masih mengekalkan ketakwaan kepada Allah SWT akan berasa terasing berdiam di rumah tatkala manusia lain 'enjoy' di konsert-konsert, kelab malam, dan seangkatan dengannya. tapi ingat sabda baginda tadi "Sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang terasing itu".
   Kesimpulannya, jalan sudah tersedia, pilihlah redha mana yang kita mahukan. tidak salah mencari redha manusia tetapi pentingkan dahulu redha Pencipta kita Allah SWT.Insyaallah apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, maka hubungan dengan manusia turut terjaga. 
Sekian sahaja, Assalamualaikum.

p/s: Sedia menerima teguran jika ada kesilapan di atas.
   
 

No comments:

Post a Comment